DASAR
pertama yang ditetapkan Islam, ialah: bahawa asal sesuatu yang dicipta Allah
adalah halal dan mubah. Tidak ada satupun yang haram, kecuali kerana ada nas
yang sah dan tegas dari syari' (yang berwenang membuat hukum itu sendiri, iaitu
Allah dan Rasul) yang mengharamkannya. Kalau tidak ada nas yang sah --misalnya
kerana ada sebahagian Hadis lemah-- atau tidak ada nas yang tegas (sharih) yang
menunjukkan haram, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, iaitu mubah.
Ulama-ulama Islam mendasarkan
ketetapannya, bahawa segala sesuatu asalnya mubah, seperti tersebut di atas,
dengan dalil ayat-ayat al-Quran yang antara lain:
“Dialah Zat yang menjadikan untuk
kamu apa-apa yang ada di bumi ini semuanya.” (al-Baqarah: 29)
“(Allah) telah memudahkan untuk kamu
apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya.”
(al-Jatsiyah: 13)
“Belum tahukah kamu, bahawa
sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan
apa-apa yang ada di bumi; dan Ia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmatNya
yang nampak mahupun yang tidak nampak.” (Luqman: 20)
Allah tidak akan membuat
segala-galanya ini yang diserahkan kepada manusia dan dikurniakannya, kemudian
Dia sendiri mengharamkannya. Kalau tidak begitu, buat apa Ia jadikan, Dia
serahkan kepada manusia dan Dia kurniakannya?
Beberapa hal yang Allah haramkan
itu, justru kerana ada sebab dan hikmat, yang --insya Allah-- akan kita
sebutkan nanti.
Dengan demikian arena haram dalam
syariat Islam itu sebenarnya sangat sempit sekali; dan arena halal malah
justeru sangat luas. Hal ini adalah justeru nas-nas yang sahih dan tegas dalam
hal-haram, jumlahnya sangat minim sekali. Sedang sesuatu yang tidak ada
keterangan halal-haramnya, adalah kembali kepada hukum asal iaitu halal dan
termasuk dalam kategori yang dima'fukan Allah.
Untuk soal ini ada satu Hadis yang
menyatakan sebagai berikut: "Apa saja yang Allah halalkan dalam kitabNya,
maka dia adalah halal, dan apa saja yang Ia haramkan, maka dia itu adalah
haram; sedang apa yang Ia diamkannya, maka dia itu dibolehkan (ma'fu). Oleh
kerana itu terimalah dari Allah kemaafannya itu, sebab sesungguhnya Allah tidak
bakal lupa sedikitpun." Kemudian Rasulullah membaca ayat: dan Tuhanmu
tidak lupa [1]. (Riwayat Hakim dan Bazzar)
"Rasulullah s.aw. pernah
ditanya tentang hukumnya samin, keju dan keledai hutan, maka jawab beliau: Apa
yang disebut halal ialah: sesuatu yang Allah halalkan dalam kitabNya; dan yang
disebut haram ialah: sesuatu yang Allah haramkan dalam kitabNya; sedang apa
yang Ia diamkan, maka dia itu salah satu yang Allah maafkan buat kamu."
(Riwayat Tarmizi dan lbnu Majah)
Rasulullah tidak ingin memberikan
jawaban kepada si penanya dengan menerangkan satu persatunya, tetapi beliau
mengembalikan kepada suatu kaidah yang kiranya dengan kaidah itu mereka dapat
diharamkan Allah, sedang lainnya halal dan baik.
Dan sabda beliau juga,
"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka jangan kamu
sia-siakan dia; dan Allah telah memberikan beberapa batas, maka jangan kamu
langgar dia; dan Allah telah mengharamkan sesuatu, maka jangan kamu
pertengkarkan dia; dan Allah telah mendiamkan beberapa hal sebagai tanda
kasihnya kepada kamu, Dia tidak lupa, maka jangan kamu perbincangkan dia."
(Riwayat Daraquthni, dihasankan oleh an-Nawawi)
Di sini ingin pula saya jelaskan,
bahawa kaidah asal segala sesuatu adalah halal ini tidak hanya terbatas dalam
masalah benda, tetapi meliputi masalah perbuatan dan pekerjaan yang tidak
termasuk daripada urusan ibadah, iaitu yang biasa kita istilahkan dengan Adat
atau Mu'amalat. Dasar dalam masalah ini tidak haram dan tidak terikat, kecuali
sesuatu yang memang oleh syari' sendiri telah diharamkan dan dikonkritkannya
sesuai dengan firman Allah:
“Dan Allah telah memerinci kepadamu
sesuatu yang Ia telah haramkan atas kamu.” (al-An'am: 119)
Ayat ini umum, meliputi soal-coal
makanan, perbuatan dan lain-lain.
Berbeza sekali dengan urusan ibadah.
Dia itu semata-mata urusan agama yang tidak ditetapkan, melainkan dari jalan
wahyu. Untuk itulah, maka terdapat dalam suatu Hadis Nabi yang mengatakan:
"Barangsiapa membuat cara baru
dalam urusan kami, dengan sesuatu yang tidak ada contohnya, maka dia itu
tertolak." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini, adalah kerana hakikat AGAMA
--atau katakanlah IBADAH-- itu tercermin dalam dua hal, iaitu:
1. Hanya Allah lah yang
disembah.
2. Untuk menyembah
Allah, hanya dapat dilakukan menurut apa yang disyariatkannya.
Oleh kerana itu, barangsiapa mengada-ada
suatu cara ibadah yang timbul dari dirinya sendiri --apapun macamnya-- adalah
suatu kesesatan yang harus ditolak. Sebab hanya syari'lah yang berhak
menentukan cara ibadah yang dapat dipakai untuk bertaqarrub kepadaNya.
Adapun masalah Adat atau Mu'amalat,
sumbernya bukan dari syari', tetapi manusia itu sendiri yang menimbulkan dan
mengadakan. Syari' dalam hal ini tugasnya adalah untuk membetulkan, meluruskan,
mendidik dan mengakui, kecuali dalam beberapa hal yang memang akan membawa
kerusakan dan mudharat.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah
berkata: "Sesungguhnya sikap manusia, baik yang berbentuk omongan ataupun
perbuatan ada dua macam: ibadah untuk kemaslahatan agamanya, dan kedua adat
(kebiasaan) yang sangat mereka perlukan demi kemaslahatan dunia mereka Maka
dengan terperincinya dasar-dasar syariat, kita dapat mengakui, bahawa seluruh
ibadah yang telah dibenarkannya, hanya dapat ditetapkan dengan ketentuan syara'
itu sendiri."
Adapun masalah Adat iaitu yang biasa
dipakai ummat manusia demi kemaslahatan dunia mereka sesuai dengan apa yang
mereka perlukan, semula tidak terlarang. Semuanya boleh, kecuali hal-hal yang
oleh Allah dilarangnya Demikian itu adalah kerana perintah dan larangan,
kedua-duanya disyariatkan Allah. Sedang ibadah adalah termasuk yang mesti
diperintah. Oleh kerana itu sesuatu, yang tidak diperintah, bagaimana mungkin
dihukumi terlarang.
Imam Ahmad dan beberapa ahli fiqih
lainnya berpendapat: asas dalam urusan ibadah adalah tauqif (bersumber pada
ketetapan Allah dan Rasul). Oleh kerana itu ibadah tersebut tidak boleh
dikerjakan, kecuali kalau ternyata telah disyariatkan oleh Allah. Kalau tidak
demikian, berarti kita akan termasuk dalam apa yang disebutkan Allah:
“Apakah mereka itu mempunyai sekutu
yang mengadakan agama untuk mereka, sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah?”
(as-Syura: 21)
Sedang dalam persoalan Adat
prinsipnya boleh. Tidak satupun yang terlarang, kecuali yang memang telah
diharamkan. Kalau tidak demikian, maka kita akan termasuk dalam apa yang
dikatakan Allah:
“Katakanlah! Apakah kamu sudah
mengetahui sesuatu yang diturunkan Allah untuk kamu daripada rezeki, kemudian
kamu jadikan daripadanya itu haram dan halal? Katakanlah! Apakah Allah telah
memberi izin kepadamu, ataukah kamu memang berdusta atas (nama) Allah?” (Yunus:
59)
Ini adalah suatu kaidah yang besar
sekali manfaatnya. Dengan dasar itu pula kami berpendapat: bahawa jual-bell,
hibah, sewa-menyewa dan lain-lain adat yang selalu diperlukan manusia untuk
mengatur kehidupan mereka seperti makan, minum dan pakaian. Agama membawakan
beberapa etika yang sangat baik sekali, iaitu mana yang sekiranya membawa
bahaya, diharamkan; sedang yang mesti, diwajibkannya. Yang tidak layak,
dimakruhkan; sedang yang jelas membawa maslahah, disunnatkan.
Dengan dasar itulah maka manusia
dapat melakukan jual-beli dan sewa-menyewa sesuka hatinya, selama dia itu tidak
diharamkan oleh syara'. Begitu juga mereka boleh makan dan minum sesukanya,
selama dia itu tidak diharamkan oleh syara', sekalipun sebahagiannya ada yang
oleh syara' kadangkadang disunnatkan dan ada kalanya dimakruhkan. Sesuatu yang
oleh syara' tidak diberinya pembatasan, mereka dapat menetapkan menurut
kemutlakan hukum asal [2].
Prinsip di atas, sesuai dengan apa
yang disebut dalam Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dari Jabir
bin Abdillah, ia berkata: "Kami pemah melakukan 'azl' [3], sedang waktu
itu al-Quran masih turun; kalau hal tersebut dilarang, niscaya al-Quran akan
melarangnya."
Ini menunjukkan, bahawa apa saja
yang didiamkan oleh wahyu, bukanlah terlarang. Mereka bebas untuk
mengerjakannya, sehingga ada nas yang melarang dan mencegahnya.
Demikianlah salah satu daripada
kesempurnaan kecerdasan para sahabat. Dan dengan ini pula, ditetapkan suatu
kaidah: "Soal ibadah tidak boleh dikerjakan kecuali dengan syariat yang
ditetapkan Allah; dan suatu hukum adat tidak boleh diharamkan, kecuali dengan
ketentuan yang diharamkan oleh Allah."
Foot
Note :
[1] Maryam.
[2] Qawaidun
Nuraniyah al-Fiqhiyah oleh Ibnu Tarmiyah, hal 112-113.
[3] 'Azl
iaitu mengeluarkan mani di luar kemaluan perempuan ketika bersanggama.
Sumber
: Ebook Halal dan Haram Dalam Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawy
Tidak ada komentar:
Posting Komentar